Kebetulan, sejak semalam saya sudah menjejak di Port Dickson – tempat yang menjadi gelanggang pertarungan terkini dua parti politik orang Melayu Islam kita. Bersama dengan beberapa orang sahabat, saya akan melaksanakan program Mukmin Profesional kepada tenaga-tenaga pemikir yang datang dari pelbagai insitusi pengajian tinggi awam dan juga pelbagai pertubuhan samada yang berlatr belakngkan politik ataupun perniagaan.
Melalui bandar Port Dickson masa ini, kita seperti “tetamu” yang disambut dengan pelbagai warna bendera – dan tentu sahaja warna biru, hijau dan merah mendominasi. Ya, inilah warna demokrasi yang tercipta (dalaman dan luarannya) ketika tiba musim memilih pemimpin. Apapun seperti yang saya selalu ungkapkan… satu persoalan menerjah ruang fikiran, sudah sekian lama orang Melayu Islam berpolitik… apakah kita sudah matang? Apakah kita sudah berpolitik dengan penuh KEBIJAKSANAAN dan KESABARAN?
Bila saya menjengah ke laman-laman web dan blog-blog tertentu, khusus yang membicarakan soal terkini di bandar yang sejuk dengan pemandangan pantai-pantai yang indah ini… sedih kerana wajah politik orang-orang Melayu masih hodoh. Situasi dan perkembangan terkini jika tidak ditangani dengan proses memberi ilmu dan didikan yang berterusan dan mantap akan menolak orang Melayu dalam jurang dendam yang berpanjangan. Yang menang akan terus menghenyak, yang kalah akan terus menyalak.
Percayalah, politik ini hanya alat, bukan matlamat. Kuasa itu hanya jalan, bukan tujuan. Sejak dulu saya berkeyakinan perlu ada “aliran ketiga” dalam arus politik Melayu. Mereka yang boleh mendamaikan, meredakan, menasihati dan mengingatkan, agar percakaran sesama Islam ini tidak melampaui batas-batas akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Berpolitiklah, perjuangkanlah keyakinan masing-masing… tetapi dalam kerangka “satu perlumbaan” untuk mendapat keredaan Allah dengan berbakti setulusnya kepada manusia.
Lalu seusai solat Subuh ini, di kala memandang pantai yang sejuk oleh puputan bayu… ketika “orang-orang politik” walau di sebelah manapun mereka berada, ketika mengangkat tangan berdoa kepada Allah, janganlah hanya memohon kemenangan, tetapi pohonlah juga kedamaian, hidayah dan rahmat untuk umat ini secara keseluruhan. Jika mereka tidak tahu, pohonlah doa agar umat ini cepat tahu. Jika mereka terkeliru, pohonlah agar umat ini mendapat petunjuk. Inilah ibrah ketika rasulullah SAW dilempar batu ketika di Taif. Apakah kita punya kesabaran seperti Rasulullah SAW yang ketika ditawarkan pertolongan para malaikat untuk menghancurkan penentangnya… lalu tetap berharap agar generasi kemudian akan beriman? Read the rest of this entry »













