RSS

Tag Archives: PKR

SIAPA PEMIMPIN YANG HENDAK KITA PILIH?

gaya-kepemimpinan-dalam-organisasiKeunggulan sesuatu bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua, kemampuan pemimpinnya. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan pra-syarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinannya.

Dua faktur itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan. Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan memantapkan kepimpinan, akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.

Namun, bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan. Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai ‘The worst defeat in history’? Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara itu telah bangun sebagai raksasa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah mampu membina semula Jepun dari puing-puing ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti transformasi, reformasi, Melayu baru dan lain-lain adalah manifestasi pada keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu sebagai satu bangsa yang ingin maju, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan menerajuinya?

Persoalan ini menjadikan faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Kekuatan pemimpin lebih dominan daripada kekutan budaya untuk menjamin keunggulan sesuatu bangsa kerana hanya pemimpin yang kuat sahaja mampu merubah atau melakukan tranformasi budaya. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ‘culture builder’ yang mampu membina kekuatan budaya bangsanya. Oleh kerana itulah sejak dahulu lagi apabila suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa Amerika .

Hakikat ini lebih jelas bila disorot melalui kacamata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliyah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun, missi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, di seluruh dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Begitulah juga nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara ‘Natural Law’ atau Sunnahtullah, jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudahj pasti dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju, aspirasi dan pemangkin pada proses tranformasi budaya.

Bangsa Melayu juga tertakluk kepada hukum ini. Tahun-tahun yang akan datang perlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. ‘Kelembutan dan ketegasan’  Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. ‘Tangan Besi’ Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak dan rakus manusia.

Jika hukum ‘situtional leader’ ini terus relevan, maka pemimpin bangsa Melayu abad ke 21 mestilah seorang yang mampu membina kekuatan ekonomi, kemantapan politik dan kesucian Islam di tengah-tengah ledakan era globalisasi dan prasangka dunia Barat yang tidak pernah jera dan reda. Dia juga dia mesti mampu berdepan dengan cabaran keruntuhan etika dan moral di mercu ketinggian sains dan teknologi. Seorang cendikiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang ‘culture builder’ adalah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu merubah orang lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya. Read the rest of this entry »

 
8 Komen

Posted by di 3 Mei 2013 in Politik / Siasah

 

Label: , , , , ,

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Walau semudah mana sekalipun falsafah dan kerangka pemikirannya, tetapi apabila sifat takbur dan kepentingan diri serta puak berleluasa, seseorang tidak akan nampak jua kebenaran.

Inilah yang cuba saya peringatkan pada diri dan semua ketika dihadapkan persoalan – Dilema Melayu.

Saya sedar, pemikiran saya dalam buku Dilema Melayu: Kurang Fikir atau Kurang Zikir, tidak mendapat sambutan yang baik sepertimana input-input saya dalam buku Tentang Cinta, Nota Hati, Di Mana DIA di hatiku dan Mukmin Profesional (hanya buku itu yang tidak diulang cetak lebih  daripada sekali), tetapi itu tidak menghalang saya untuk mengutarakan ‘pandangan-pandangan di luar kotak’ demi menyumbang sesuatu kepada masyarakat Melayu-Islam kita.

Saya berdoa semoga akan ada nanti pandangan yang membetulkan, melengkapkan atau memperincikan input yang saya tulis itu. Ketika bergaul dan melihat masyarakat – dari Kelantan, ke Selangor dan Kuala Lumpur – saya merumuskan, siapapun inginkan kebaikan, tetapi tidak semua inginkan kebenaran. Semua bencikan kejahatan, tetapi tidak semua bencikan kebatilan.

Kebenaran itu hanya pada Allah dan diletakkan-Nya pada Islam. Menerima Islam (kebenaran), menjemput datangnya kebaikan dan mengusir segala kejahatan. Malangnya, selimut kepentingan diri dan egoa kerap menutup pintu hati kita daripada menerima Islam secara total .

Sikap ‘separuh-separuh’ inilah musuh yang dihadapi oleh para Rasul. Sikap separuh-separuh dalam akidah inilah yang dinamakan syirik! Kita menerima Allah sebagai Pencipta, tetapi tidak menyerah seluruh pengabadikan kepada undang-undang dan peraturan-Nya.

Dan kemudian ia merebak kepada soal syariat dan akhlak. Akhlak kita hanya berfokuskan ‘kebaikan’ bukan kepada kebenaran. Syariat kita caca marba – yang ‘sesuai’ dan bermanfaat material kita ikuti, yang mana terasa mengikat dan menekan nafsu, kita katakan, “tunggu atau nanti dulu!”

Menerusi blog ini selalu saya sentuhkan persoalan cinta dan keluarga… kerana di sana NUKLEAS segalanya. Namun, sekali-sekala saya tidak dapat menahan diri daripada menyentuh soal masyarakat dan negara.

Saya bimbang, persoalan yang mudah dan jelas, seolah-olah sengaja dikusutkan hanya kerana adanya kepentingan diri dan puak – bukan oleh kepentingan agama, bangsa dan negara. Apakah ada dilema antara agama dan bangsa, Islam dan Melayu? Atau dilema itu hanyalah timbul kerana kejahilan dan kedegilan kita? Sama-samalah kita fikirkan. Namun bagi saya… jika Islam didaulatkan, insya-Allah Melayu akan dimartabatkan. Ikutilah tulisan ini sekadarnya…

DAULATKAN AGAMA, MARTABATKAN BANGSA

Kepentingan agama perlu didahulukan-kepentingan bangsa dan bahasa akan menyusul dengan sendirinya.Dimana kekuatan agama, bangsa dan bahasa? Adakah ketiga-tiganya satu atau terpisah? Jika persoalan ini dapat diselesaikan, maka perjuangan menegakkan islam, kepentingan Melayu dan bahasa, akan lebih jelas. Dan tentunya ini akan dapat mengurangkan konflik atau dilema yang kerap berlaku dalam usaha mendaulatkan agama, memperkuatkan bangsa dan memartabatkan bahasa. Read the rest of this entry »

 
21 Komen

Posted by di 20 Februari 2011 in Politik / Siasah

 

Label: , , , , , ,

DWI WAJAH POLITIK DI DALAM MASJID…

Saya telah diminta pandangan tentang politik di dalam masjid… Isu ini telah menjadi begitu kontroversi kini.

Dan telah berkali-kali juga saya berkata, “saya hanya seorang daei (pendakwah), itupun masih bertatih. Saya bukan pakar siasah.”

Seorang pengunjung blog menasehati saya untuk mendalami politik Islam, insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya.

Namun, semasa saya sedang belajar, saya juga belajar untuk mengutarakan pandangan… justeru pendakwah juga perlu dan wajar menyentuh tentang politik, bukankan Islam itu cara hidup? Dan politik adalah sebahagiaan daripada hidup ini.

Saya berdoa, agar diperbetulkan jika tersalah. Pandangan dalam politik, pastinya menimbulkan pro-kontra yang tidak sudah-sudah. Ya, mudah-mudahan keikhlasan jua yang membuka pintu hati kita agar berpesan-pesan dengan penuh kesabaran dan kebenaran.

Di kesempatan ini, izinkan saya memuatkan kembali tulisan saya dalam buku Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir dalam tajuk DWI WAJAH POLITIK DI DALAM MASJID… Mudah-mudahan jika ada yang benar diterima , dan PASTI ada yang salah, mohon mendapat teguran. Insya-Allah…

AGENDA Islam dalam agenda politik semasa sepatutnya akan lebih membersihkan dunia politik yang selalu disifatkan sebagai ‘a dirty game’. Ini selaras dengan sifat Islam sebagai agama yang suci dan menyucikan. Jika apa yang diperjuangkan oleh parti politik (tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang) benar-benar Islam, langkah itu tentunya akan menghasilkan keadaan yang lebih positif. Islam sudah sewajarnya mempunyai membersihkan dunia politik dan ahli politik.

Anehnya, perkara ini tidak berlaku. Malah politik kelihatan menjadi lebih kotor apabila elemen ‘Islam’ dimasukkan dalam persaingan parti-parti politik. Justeru, kini telah timbul satu persoalan apakah politik telah di’Islam’kan atau Islam yang telah dipolitikkan?

Satu isu yang sangat berkait rapat dengan persoalan ini ialah kaitan antara institusi mesjid dengan politik. Ada pihak, beranggapan bahawa institusi mesjid seharusnya bebas dari sebarang kegiatan politik. Menurut mereka, para imam dan khatib tidak sewajarnya menggunakan khutbah dan kuliah agama sebagai platform politik. Agama dan politik mesti dipisahkan. Tanggapan ini ada benarnya jika politik dilihat dalam realiti semasa.

Umum kini melihat politik bukan lagi dari aspek ilmu dan falsafahnya, tetapi lebih diwarnai oleh perilaku parti dan gelagat ahli politik. Kebanyakan kita melihat politik sebagai satu gelanggang perebutan kuasa, penggunaan wang, pertelagahan diantara ahli-ahli parti, pembelotan dan tipu muslihat.

Menjelang pemilihan pemimpin dalam sesebuah parti mahupun persaingan antara parti dalam musim pilihanraya, kita akan melihat bagaimana kaedah-kaedah yang tidak bermoral akan digunakan untuk mencapai kemenangan. Kata mengata, cerca mencerca misalnya, sudah menjadi suatu yang lumrah dan hampir diterima sebagai satu budaya politik semasa. Jika inilah wajah politik yang ada, maka wajarlah mesjid diselamatkan dari ‘kekotoran’ itu. Politik yang semacam ini bukan sahaja tidak layak dibawa masuk ke dalam mesjid, malah di luar mesjid pun tidak layak diamalkan!   Read the rest of this entry »

 
23 Komen

Posted by di 25 Mei 2010 in Politik / Siasah, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers