RSS

Tag Archives: poligam

IMAN ITU BAHAGIA BILA DIUJI

 

 

IMAN ITU BAHAGIA BILA DIUJI (satu bab daripada buku BEDUK DIKETUK LAGI)

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat, tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.

“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.

“Sudah lama?”

“Baru sahaja. Sejak dua bulan yang lalu.”

“Puan kecewa, marah?”

“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”

“Jadi, apa masalahnya?” tanya saya agak terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.

“Masalahnya daripada ibu bapa dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”

“Puan bertindak?”

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”

“Alhamdulillah, kalau begitu. Jadi, apa masalahnya lagi?”

“Apabila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya, hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah-menziarahi tidak semeriah dulu. Saya sedih diperlakukan begini.”

 

Kunci Keharmonian

Saya diam. Insya-Allah, ia akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah kadang-kadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin didengari. Teringat perkara yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, luahan dan rintihan manusia perlu didengar sama seperti mereka memerlukan makanan.

“Puan, kunci keharmonian dalam poligami terletak pada tangan puan dan suami, insya-Allah. Bukannya pada tangan ibu bapa puan atau mertua, apatah lagi ipar duai,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.

Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan: “Jika puan tabah, tenang dan steady, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa perasaan puan setelah berpoligami?”

“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.

Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.

“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.

“Ustaz, suami saya baik. Bertanggungjawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggungjawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”

Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri. Read the rest of this entry »

 
Leave a comment

Posted by on 12 August 2017 in Tarbiyah

 

Tags: , , ,