RSS

Tag Archives: POLIGAMI

YANG ‘KADANG-KADANG’ DAN ‘JARANG-JARANG’

arifin-ilham-poligami1

 1.      Sekalipun selepas kematiannya…

“Saya tidak akan maafkannya,” tegasnya berkali-kali.

Saya tunduk simpati.

“Saya tidak akan maafkannya.”

Dia semacam tidak puas dengan penegasannya. Mengulangnya lagi.

“Apa untungnya puan tidak memaafkan?”

“Perbuatan dia menduakan saya sangat menyakitkan hati. Tidak sangka ada wanita lain di hatinya selain saya.”

“Puan… bukankah suami puan sudah meninggal dunia. Apa salahnya puan maafkan dia. Tidak ada apa-apa yang nak dicemburukan lagi. Terimalah hakikat dan susun semula kehidupan baru dengan anak-anak. Itu yang lebih utama. Semuanya sudah berlalu, hadapi yang sekarang.”

“Sayidatina Aisyah lagikan cemburu kepada Sayidatina Khadijah yang telah meninggal dunia, apatah lagi saya, seorang wanita biasa,” tekan wanita itu tanpa peduli kata-kata saya.

“Subhanallah, Sayidatina Aisyah cemburukan kebaikan Siti Khadijah yang selalu disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun setelah kematiannya. Cemburu kepada kebaikan madu yang masih disebut suami walau setelah kematiannya berbeza dengan sikap tidak memaafkan suami yang telah mati kerana berpoligami secara sembunyi-sembunyi,” nasihat saya.

“Apa kurangnya saya? Bayangkan pada hari kematiannya baru saya dapat tahu dia telah menikah lagi. Sudah lama pula tu. Sudah 5 tahun. Bayangkan ustaz, depan saya nampak baik, solat, tutur kata lemah lembut,  bertanggung jawab, semua makan-minum, rumah dan nafkah kami sekeluarga dijaganya… tetapi tak sangka sezalim itu dia pada saya…”

“Suami yang berpoligami tidak zalim, tidak jahat. Jika semuanya terjaga baguslah tu. Suami yang tidak berpoligami pun ramai yang tidak macam tu. Isteri yang cuma satu itu pun tidak dilayan dengan baik, makan-minum terbarai!”

“Ustaz, salah kah saya?” Read the rest of this entry »

 
49 Komen

Posted by di 19 Ogos 2013 in Kemudi Hati

 

Label: , ,

SEORANG ISTERI YANG DIUJI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.

Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman… 

SEORANG ISTERI YANG DIUJI

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.

“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.

“Sudah lama?”

“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.

“Puan rasa kecewa, marah?”

“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”

“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.

“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”

“Puan bertindak?”

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”

“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”

“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”

Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.

“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya. Read the rest of this entry »

 
113 Komen

Posted by di 6 Ogos 2012 in Tentang Cinta

 

Label: , , , , ,

SEIMBAS TENTANG POLIGAMI…

Saya pernah mendengar secara langsung bagaimana seorang isteri dianiaya oleh suaminya yang berpoligami. Sudahlah selama ini dia membantu suaminya menyara keperluan keluarga (gajinya lebih besar daripada suami), tiba-tiba suami bernikah lain tanpa pengetahuannya.

Dan sejak itu suami jarang pulang ke rumah. Jika pulang pun, hanya sekali-sekala, itupun kerana ‘mengecek’ wang isteri pertama. Isteri yang selama ini berkorban, terus terkorban… bertahan cuma untuk membesarkan anak-anak. Tidak ada kebahagiaan lagi.

Ada pula saya temui lelaki ‘handsome’ yang sihat, kaya, baik tetapi terhimpit oleh masalah ‘dalaman’ apabila isterinya tidak sudi melayaninya lagi. Sukarnya untuk memahamkan isteri akan cabaran-cabaran lelaki yang ingin menjadi muslim sejati dalam dunia yang penuh godaan dan cabaran ini. Isteri tidak pula sudi membantu untuk mengurangkan beban cabaran itu. Bersoleklah, berhiaslah dan jagalah penampilan diri… Berzina? Tidak terlintas sama sekali. Hendak berpoligami? Jangan harap. Alamat perang saudaralah nanti!  

Sekali-sekala saya terjumpa lelaki berpoligami yang begitu bijak dan sabar mengendalikan bahtera rumah tangga. Anak-anaknya ramai tetapi terdidik dengan baik. Isteri-isteri terurus dan terkendali dengan stabil. Perjalanan ‘rumah-rumah’ tangganya yang agak sempurna dan lancar, lebih baik daripada perkahwinan monogami oleh sesetengah lelaki yang lain. Jika demikian, dia layak memimpin beberapa orang wanita, detik hati saya.

Sering saya temui, lelaki yang hidupnya tunggang langgang. Anaknya hanya seorang, isterinya hanya satu… tetapi kendali hidupnya sungguh celaru. Hidup tanpa tanggung jawab. Dia masih tebal dengan budaya hedonisme dan berpeleseran dengan mengekalkan momentum zaman bujangnya. Hati saya tertanya-tanya, mengapa agaknya dia berkahwin? Apa tujuannya? Dia menyiksa dirinya dan orang di bawah tanggungannya. Usahkan berpoligami, bermonogami pun dia tidak layak!

Lalu hati saya berkata… semuanya bergantung kepada iman. Tidak kira poligami atau monogami, lelaki yang beriman dapat mengendalikannya dengan baik. Ada yang berbahagia dengan seorang isteri… ya itulah yang normal. Namun, sekali-sekala terjadi juga yang ‘kadang-kadang’, ‘jarang-jarang’, berbahagia pula dengan dua, tiga atau empat isteri. Allah Maha Mengetahui, di sebalik segala takdirnya, ada bahagia… sekiranya ada iman yang kukuh dan teguh di dada.    

Justeru, apabila ada kalangan pengunjung blog meminta saya menulis tentang poligami, saya persembahkan tulisan di bawah dengan rendah hati… Ya, Allah. Bantulah kami memahami tentang hukum poligami ini. Ya, saya akan menulis lebih panjang lagi tentang subjek ini. Namun buat sementara terimalah tulisan di bawah sebagai muqaddimahnya:  

MENYINGKAP MISTERI BERPOLIGAMI

Poligami, sering dianggap satu subjek yang ‘taboo’. Membincangkannya akan menyebabkan berlakunya pergeseran pendapat yang agak ‘sengit’ dikalangan umat Islam sendiri. Malah sering juga musuh Islam mengambil kesempatan mengecam Islam dan Nabi Muhammad kerana poligami.

Namun, realitinya poligami dalam Islam adalah satu praktik yang telah lama berlaku yakni sejak zaman Rasululullah s.a.w sehinggalah kini. Rasulullah s.a.w, Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan lain-lain para sahabat telah mengamalkannya. Ini menunjukan poligami memang boleh diamalkan.

Tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”

Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.” Read the rest of this entry »

 
52 Komen

Posted by di 10 Januari 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

KALAU BENAR CINTAKAN ALLAH

Semakin ramai yang mengajukan masalah-masalah personal kepada saya. Saya anggap ini amanah. Walaupun tidak mampu saya tangani semuanya secara khusus, tetapi jika diteliti, artikel-artikel yang sebelumnya ada yang telah pun menjawabnya secara umum. Tolong cari jawapannya di sana…

Bulan ini sahaja, berkali-kali saya ke IPTA yang pelbagai untuk membincangkan soal cinta. Walaupun jarang benar saya dapat memenuhi undangan (kerana terpaksa mengendalikan program latihan) tetapi jika ada masa terluang, saya tidak akan menolak. Penulisan buku Tentang Cinta, menjadi satu amanah untuk diteruskan misinya. Namun di celah-celah subjek yang popular itu, saya juga diajukan soalan-soalan yang sensitif. Kebanyakannya saya tangani juga dari perspektif dakwah.

Berikut ada dua tulisan saya yang cuba menyentuh isu itu secara tidak langsung. Dan kemudiannya diikuti oleh satu tulisan (yang sebenarnya hanya  satu catatan sewaktu mengerjakan umrah dahulu) yang menangani masalah poligami – yang juga kerap ditanyakan dalam blog ini.

Saudara-saudaraku, marilah sama-sama kita mengambil teladan (jika baik) dan sempadan (pasti ada yang kurang) dalam kedua tulisan itu. Terimalah… Kalau Benar Cintakan Allah dan Mufarakah Doa di Jabal Rahmah.

KALAU BENAR CINTAKAN ALLAH….

Sebutlah nama Allah banyak-banyak. Maksud ayat al Quran dengan kalimah “berzikilah pada waktu pagi dan petang” itu ialah kita berzikir dengan kuantiti dan kuali yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah, dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya, dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun bila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam-Nya diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Bila ini terhadi jangan ditangisi jika Allah “lupakan” kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang banyak mengingati-Nya – dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripada-Nya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya muslim?  Read the rest of this entry »

 
32 Komen

Posted by di 16 Januari 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,198 other followers