RSS

Tag Archives: Rasul

MENCARI… BUKAN MENANTI LAILATUL QADR

Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti. Read the rest of this entry »

 
39 Comments

Posted by on 1 September 2010 in Kemudi Hati

 

Tags: , , , , ,

RINDU DAN CINTA ITU UNTUK SIAPA?

200547981-001Maaf, jika ada yang ternanti-nati entry baru dalam blog ini. Saya tidak berapa sihat. Namun terus menulis.

Anak-anak yang “dicutikan” daripada universiti semuanya di rumah. Ada yang tidak sihat. Di sela-sela waktu selepas menulis untuk SOLUSI dan ANIS, di samping mereka bentuk modul Kepimpinan dan rutin kerja pentadbiran dan pengurusan… saya gagahi juga untuk menulis dalam blog ini.

Memang menulis dan membaca menjadi satu terapi untuk saya. kalau dahulu menulis hanya mengisi diari harian, tetapi syukur kini sudah ramai yang rela berkongsi. Bagi saudara/i yang mengutarakan masalah, insya-Allah akan saya jawab. Cuma berilah masa.

Lambat, cepat, saya akan tangani juga. Saya sedar untuk rasa gembira, kita perlu menggembirakan orang lain. Mungkin masalah kekadang tidak dapat diselesaikan tetapi hanya boleh dikongsi. Allah takdirkan untuk kita “hidup bersama” masalah itu sebagai didikan untuk selalu ingat kepada-Nya.

Bagi yang menanti catatan perjalanan Umrah Kembara mata Hati, sabarlah. Memang penulis blog perlu bertanggungjawab. Jangan menghampakan pengunjung. Ketika sahabat saya ustaz Adib UKM mendorong saya menulis menerusi  blog, saya sudah sedar akan impaknya. Mesti istiqamah. Ini bukan kerja suka-suka.  Ini kerja dakwah juga. Saya akan kembali ke situ jua nanti. Namun ketika sakit-sakit begini izinkan saya berbicara dengan anda melalui:  RINDU dan CINTA untuk SIAPA?

RINDU DAN CINTA UNTUK SIAPA?

Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.   Read the rest of this entry »

 
30 Comments

Posted by on 5 August 2009 in Tarbiyah

 

Tags: , , , , , ,