RSS

Tag Archives: sabar

SEPANJANG JALAN TAWAKAL

road_and_path05Tawakal adalah sifat terpuji yang tertinggi. Ia adalah ibadah hati. Tawakal itu dirasai. Zahirnya tidak kelihatan tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Mengapa? Ini kerana hanya dengan bertawakal kita boleh menjadi hamba Allah yang sebenar. Jika tidak kita akan sentiasa terhalang, malah terhijab terus daripada menjadi akrab dengan Allah. Halangan terbesar seseorang menuju Allah ialah kekhuatiran, kebimbangan, kesibukan kesukarannya mencari rezeki. Hati dan fizikal menjadi letih dalam mencari, menjaga dan menambah rezeki. Namun dengan tawakal, segala keletihan itu akan dapat diatasi.

Apabila kita bertawakal ertinya kita mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain. Dalam konteks ini, ‘pihak lain’ itu ialah Allah. Insya-Allah, apabila kita menyerah urusan kepada Allah hati kita akan teguh dan kukuh, tidak goncang dan goyah lagi.  Ini kerana kita yakin ‘wakil’ kita itu ialah zat yang Maha Gagah, Maha kaya, dan Maha sempurna.  Keyakinan itulah yang membuahkan ketenangan.

Justeru, menurut Abu Zakaria Ansari, tawakal itu ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Bayangkan apabila seseorang Muslim dengan sepenuh hati berserah diri kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah dalam berusaha sambil menunggu hasilnya dengan penuh sangka baik kepada Tuhannya.

Insya-Allah, seorang yang bertawakal akan mendapat sekurang-kurangan manfaat-manfaat berikut: Read the rest of this entry »

 
26 Komen

Posted by di 3 Jun 2013 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

CUKUP HANYA SEKALI!

“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya. “Apabila saya meletakkan kata-kata ini dalam FB saya, ada yang bertanya samada secara terus atau melalui sms, bagaimana jika kita sudah dianiaya oleh orang yang sama berulangkali. Patutkah kita terus bersangka baik kepadanya?

Soalan yang sukar dijawab jika diserahkan kepada akal dan rasa hati untuk menilainya. Maklum sahaja, akal dan rasa hati kita masih tidak kebal daripada bujukan nafsu dan tipu daya syaitan. Kita manusia biasa, banyak kelemahan dan kekurangan. Namun, kekurangan dan kelemahan itu pun hakikatnya suatu kelebihan dan kekuatan jika kita mahu belajar dan mengambil iktibar daripadanya.

Tidak ada jalan keluar, melainkan kita pasrah berdoa dengan memohon taufik dan hidayah Allah selalu. Agar Allah pandu dan pacu hati kita ke arah kebenaran. Dan jika tersalah juga, mudah-mudahan Allah buka pintu hati kita untuk bertaubat. Kita mesti bergaul dengan manusia yang berbagai ragamnya ini. Kita mesti sabar dengan karenah mereka sepertimana mereka pun bersabar dengan karenah kita.

Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentuk di celah-celah simpang siur karenah insan. Maafkan mereka, jika ingin keampunan Allah. Bantulah mereka, jika ingin bantuan Allah. Hubungan antara sesama manusia itulah medan bagi Allah mendidik sifat sabar, pemaaf, pemurah, redha, sangka baik dalam diri hamba-hambaNya yang soleh. Untuk akrab denganNya, Tuhan menguji kita melalui hamba-hambaNya.

Pegang prinsip ini  selalu…  jangan cuma melihat ‘gerakan’ tetapi lihatlah pada ‘Penggeraknya’. InsyaAllah, jika itu yang tersemat di hati, akan redalah sedikit kemarahan, akan teduh sementara  jiwa yang bergoncang. Jika kita sudah sayang kepada Pencipta, tentu kita akan sayang segala ciptaanNya. Majnun akan terasa indah, sekalipun hanya dengan melihat bumbung rumah Laila. Dia tahu, Laila kekasihnya sedang berada di bawah bumbung itu…

Salam buat semua yang berada di akhir Ramadan ini. Semoga kita terus bersama Roh Ramadan yang sentiasa  menyala di hati kita buat menyuluh seluruh dan sepenuh kehidupan dunia yang penuh ujian ini. Dalam kegelapan fitnah akhir zaman kita mengharapkan akan sentiasa ada ‘Lailatul Qadar’ yang membawa sinar iman dan taqwa di hati kita. Biarlah zaman gelap, jangan digelapkan lagi oleh dosa-dosa kita. Biarlah malam-malam kita… sentiasa ditemani oleh iman kepada ‘Pencipta Lailatul Qadar’ itu. Jika demikian, ya Allah… setiap malam adalah Malam Al Qadar!

Untuk mereka yang bertanya, ku gagahi jua menulis, cuma sekadarnya...

CUKUP HANYA SEKALI!    

“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya!”  Maksudnya, kita akan menilai seseorang dengan fikiran, hati dan perasaan kita. InsyaAllah, jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang itu petanda fikiran, hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah… itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.

Begitulah dalam hidup ini, kita mesti memulakan kebaikan daripada diri kita sendiri. Caranya? Bermula dengan sangka baik. Lihat yang baik-baik. InsyaAllah, lama-kelamaan kita akan jadi baik dan mendapat kebaikan. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Isa AS melalui seekor bangkai kambing bersama-sama para pengikutnya. Ketika para pengikutnya, memalingkan muka dan menutup hidup kerana jijik dan terhidu bau busuk, Nabi Isa sebaliknya berkata, “aku lihat bangkai kambing ini mempunyai gigi yang putih.” Read the rest of this entry »

 
28 Komen

Posted by di 15 Ogos 2012 in Tarbiyah

 

Label: , , ,

JENTIKAN KASIH…

Masih teringat ketika masih kanak-kanak di kampung dahulu. Apabila hujan lebat, kita begitu seronok bermain air. Tidak kira di tepi sungai atau berhampiran tali air. Kita ketawa, gembira dan terjerit-jerit dengan kawan-kawan.

Tetapi tidak lama… ibu akan datang dengan ranting kayu menyuruh kita pulang. Kalau tetap berdegil, kita akan menerima habuan. Apalagi, kita pun menangis. Sewaktu itu kita tertanya-tanya, mengapa ibu menghalang kita berseronok-seronok?

Kini kita telah dewasa, kenangan itu masih basah dalam ingatan. Kita tersenyum. Kenangan itu adalah bukti kasih sayang ibu. Sekarang kita faham, ibu melarang kerana kasih. Ibu merotan kerana sayang. Bukan kerana ibu cemburu, jauh sekali benci apatah lagi untuk mendera. Ibu nampak apa yang kita tidak Nampak. Kita hanya memikirkan suka, ibu memikirkan bahaya. Ya, kerana keprihatinan ibu menjaga kita sewaktu kecil itulah menyebabkan kita masih di sini.

Begitulah dengan ujian-ujian Allah. Ia begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan. Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa? Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan kepedihan ini ke atas diriku? Read the rest of this entry »

 
54 Komen

Posted by di 28 Mei 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , , ,

CUKUP SEKADAR UNTUK MELIHAT MENTARI…

Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis… takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan ‘menguji’ diri saya.

Banyak yang saya tulis adalah apa yang saya telah lalui sendiri. Bukan hari ini, minggu ini bahkan puluhan tahun yang lalu. Ertinya, saya menulis daripada pengalaman sendiri – sama ada yang baik mahupun yang buruk. Tetapi ada juga yang saya tulis berdasarkan pengamatan pada hidup orang lain. Saya tidak melaluinya… tetapi saya selami dengan sikap simpati malah empati. Lantas saya garap kembali dengan fikrah Islami dan fitrah insani. Seadanya! Setakat secebis kemampuan ilmu yang ada.

Pada jurus yang kedua inilah saya sering diuji. Apa yang menimpa orang lain turut menimpa saya. Saya tercari-cari mengapa itu terjadi? Benarkah niat saya untuk berhenti menulis (kerana takut) itu adalah suatu yang tepat dan betul? Begitulah hati saya kerap bertanya-tanya.

Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:

“Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!” Read the rest of this entry »

 
45 Komen

Posted by di 31 Januari 2011 in Tarbiyah

 

Label: , , , , ,

DEMI CINTA!

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini terlalu ramai diantara pengunjung rela dan tega berkongsi masalah dengan saya. Pada hal telah berkali-kali saya tegaskan bahawa saya hanya seorang yang sedang bermujahadah. Justeru, saya tegaskan marilah sama-sama kita berusaha… memperbaiki diri.”

“Kemudian saling doa mendoakan – pinta hidayah Allah dalam bermujadah. Kali ini saya ingin berkongsi lagi.. “Demi cinta” ini saya tulis agak tergesa-gesa. Mencuri-curi masa ditengah kesibokan menjalankan program di Port Dickson ini. Mari sama-sama kita kongsikan…”

DEMI CINTA!

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.

Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.

Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.

Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.  Read the rest of this entry »

 
34 Komen

Posted by di 12 Disember 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , ,

KUALITI JIWA VS KUANTITI HARTA

harta

Ramadhan telah berlalu, dan kemudian bertamu pula Syawal. Saat-saat ini sesungguhnya menghadiahkan detik yang indah untuk terus bermuhasabah. Beberapa purnama lagi tahun baru akan menjengah, apakah pecutan diri menuju taqwa semakin goyah atau semakin gagah? Ya, hakikatnya hidup perlu dijalani dengan semangat “sentiasa bersedia untuk mati”. Bila hati benci mati, itu petanda jelas bahawa aku dan kamu belum mencintai Ilahi…

Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?

Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?

Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!

Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.

Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu.  Read the rest of this entry »

 
12 Komen

Posted by di 29 September 2009 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , , ,

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,254 other followers