Telah pernah ku tulis… (dalam buku Nota Hati seorang lelaki)
“Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan (baca: tuliskan), itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia…”
Entah, malam ini hati kuresah sekali. Kiranya ini semua gara-gara dosaku. Dosaku yang sukar memaafkan… lantas hatiku dihiris rasa bersalah. Dan rasa bersalah itu sungguh resah. Aku taubat padaMu ya Allah, semoga aku terus diizinkan bermujahadah untuk memaafkan (bahkan melupakan) kesalahan orang lain padaku. Dan sentiasa sedar bahawa dosa dan salahku pada merekalah yang lebih banyak dan membelenggu. Untuk itu, aku tatap semula tulisan lama ku untuk kutatap sendiri. Ah, sukarnya meluruskan jiwa, lebih sukar daripada melaraskan bahasa dan kata. Untuk ku dan untuk mu (sahabat-sahabatku), mari kita tatap semula tulisan lama ini... Mudah-mudahan jadi peringatan untuk diri & “diri-diri”
Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk disorong-tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, bila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.
Namun itu hanya bisik ‘hati besar’ku. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri… ada suara lain yang bergetar. ‘Hati kecil’ yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa. Maafkan… lupakan, cintakan, sayangkan. Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu. Read the rest of this entry »













