Saudara dan sahabat-sahabatku…
Semakin ramai yang mengajukan persoalan dan permasalahan sama ada di blog ini ataupun melalui FB saya. Saya simpati dan empati. Namun, disebabkan pelbagai hambatan, saya tidak mampu menjawab semuanya.
Apatah lagi, apabila saya amat-amati, dalam soalan itu sendiri pun telah ada jawapan. Ya, yang sukar adalah untuk mujahadah. Untuk sabar serta bijaksana untuk menghadapi dan menyelesaikannya sahaja.
Kebanyakannya hanya perlu ‘didengar’ untuk sekadar berkongsi rasa. Bukan untuk diselesaikan, tetapi untuk dileraikan. Jangan terus terbuku dan terpendam di dalam jiwa. Hakikatnya, kita sama sahaja. Saya pun begitu juga… sangat memerlukan ‘pihak lain’ untuk menjadi pendengar, tempat kita meluahkan segala dan semua. Dengan berkongsi, kita berbagi derita.
Kebanyakan jawapan pada permasalahan sudah ada saya tuliskan dalam buku-buku saya. Sama ada Di Mana DIA di hati ku, Tentang Cinta, Cinta Kerana Allah, Mukmin Profesional, Dua Hati Satu Rasa, Nota Fikir untuk Zikir dan sebagainya. Rajin-rajinlah membaca – cari kekuatan dalam diri. Juga hadirilah kuliah-kuliah ilmu, insya-Allah hati yang luka akan dapat diubati. Saya sendiri membaca berkali-kali buku-buku itu dan buku tulisan orang lain. Namun paling penting, jagalah solat dan zikir , kerana itulah terapi yang paling “meresap’ dan mujarab.
Kebanyakan tulisan-tulisan saya adalah gelombang rasa dan ombak mujahadah yang sedang atau telah saya lalui sendiri. Saya yakin itulah juga yang pembaca lalui. Jadi, saya hanya menukilkan sahaja rasa yang pernah dialami oleh kita bersama. Saya cuba mencari kekuatan dengan menulisnya dan kemudian cuba bermujahadah untuk mengamalkan. Kekadang (malam selalu) jatuh juga bergelimpangan. Tetapi saya cuba bangun semula… Begitulah saya doakan untuk para pembaca. Agar tidak mengira berapa kali kita jatuh, tetapi sejauh mana dan sekuat mana kita bangun semula.
Ingin saya tegaskan buat diri sendiri dan pembaca… ilmu itu walaupun utama, tetapi bukan segala-galanya. Paling utama, kita perlu mengamalkannya. Bagaimana nak sabar? Bagaimana nak redha? Bagaimana nak memaafkan? Tidak ada jawapan kepada persoalan ‘bagaimana’ kecuali ditempuh sendiri oleh mereka yang mengalaminya. Sakit perit dalam mujahadah ada dalam realiti kehidupan bukan pada helaian buku dan catatan. Menulislah dalam kehidupan sendiri dengan peluh, air mata dan darah… barulah ketenangan dan kejayaan terserlah.
Tidak ada jalan pintas di lebuh raya kebenaran. Semua insan perlu melaluinya dengan menanggung kesusahan. Itulah jalan yang dipilih Allah untuk mendapat Jannah. Syurga dipagari oleh kesusahan dan penderitaan. Cinta-Nya menagih pengorbanan. Jika perlu menangis, menangislah kerana Allah. Jika perlu sakit, sakitlah kerana Allah. Jika gagal, gagallah juga kerana Allah. Yang hitam dan putih adalah milkNya, kita hanya hamba – pada kita hanya usaha. Kemudian tawakal. Kemudian pasrah dan menyerah – kita milik Allah, kepadaNyalah kita akan dikembalikan. Read the rest of this entry »















