RSS

Arkib Label: SUFI

BIAR KEPALA BERBEZA, ASALKAN HATI SAMA

umno

Kata-kata terakhir saya dalam segmen Mukmin Profesional di radio IKIM baru-baru ini ialah seruan untuk umat ini ‘memanfaatkan persamaan dan matang dalam menguruskan perbezaan.’

Saya kira inilah cabaran untuk umat Islam Melayu di Malaysia, di samping cabaran-cabaran lain, yang semuanya harus dihadapi dengan kebijaksanaan akal dan ketulusan hati.

Menerusi pengalaman dalam pergaulan dengan pelbagai manusia dari pelbagai aliran fikiran dan ‘School of Thought’ saya dapati tahap pergeseran umat ini sudah semakin serius. Usahkan di bidang siasah yang sejak dulu bukan semakin reda tetapi semakin menyala-nyala, malah di bidang yang lain pun perbezaan ini semakin sukar didamaikan.

Agenda dakwah dan tarbiah umat ini turut terjejas apabila ilmuan agama, para dai’e juga terpalit dalam pergeseran yang semakin hebat ini. Jika ‘kepala’ sudah berlaga, apalagi ‘ekor’… lebih ligat dan kuat melibas. Akibatnya, para daie mendapat label masing-masing… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan pula ‘salafi tegar’.

Pergeseran ini mengelirukan, merugikan… Bayangkan seorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah dengan “zikir semacam itu bid’ah”. Renungkan pula… bagaimana pula seorang yang selama ini belajar Tauhid di sekolahnya secara pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap terkeluar daripada ajaran Islam? Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah dari solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan berwasilahkan wali dan ulama.

Namun jika diteliti semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah yang sama. Mereka yang berbeza ini juga adakalanya duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja sepejabat atau boleh jadi satu keluarga juga.Kenduri-kendara masih saling berkaitan. Sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan.

Saya yang sedikit ilmu dan kerdil peribadi ini hanya mampu berdoa agar Allah turunkan petunjuk untuk kita agar sama-sama ikhlas dan bijak menghadapi perbezaan. Apakah kita akan terus menghadapi krisis saling sesat menyesatkan, atau saling kafir mengkafirkan ini? Ya Allah, berilah kami petunjukMU. Respons saya pada persoalan ini hanyalah secebis tulisan yang sangat sederhana:

BIAR BERBEZA KEPALA ASALKAN JIWA TETAP SAMA!    

Imam Safie rhm pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “Begitulah contoh figur yang hebat apabila menghadapi perbezaan. Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak terhadap orang lain tanpa menafikan pendirian dan keyakinan terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.

Pada ketika ulama-ulama besar Islam itu masih hidup, masyarakat telah mendapat manfaaat yang  banyak hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan sesama ulama. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. Ilmu semakin berkembang impak daripada pelbagai hujah yang berbeza itu. Perbezaan menghasilkan kepelbagaian. Kepelbagaian itu pula menghasilkan pilihan yang banyak kepada umat. Pada waktu itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarat.

Ya, berbeza pandangan tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah manusia. Selagi kita manusia, selagi itulah kita berbeza. Itu satu ketetapan daripada Allah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap manusia dalam menghadapi perbezaan. Sikap taksub, ego, berpura-pura, pentingkan diri dan kumpulan, telah menimbulkan perbalahan hampir pada setiap kali menghadapi perbezaan, sama ada dalam perkara yang titik-bengik apalagi perkara yang besar. Padahal perbezaan tidak semestinya satu pertentangan, jika diuruskan dengan baik, yakni dengan sikap lapang dada, saling menghormati dan paling penting ikhlas kerana Allah.  Read the rest of this entry »

 
12 Komen

Posted by di 16 Januari 2013 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , ,

MENJADI SEORANG SUFI…

 

Setiap yang dilahirkan oleh manusia sama ada fikiran dan tindakannya adalah berpunca dari hati. Kalau baik hati, maka baiklah seluruh perbuatan dan pertuturan. Begitulah sebaliknya kalau hati jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan.

Kedatangan Rasulullah SAW untuk memperbaiki akhlak manusia mendapat kejayaan kerana baginda berjaya mendidik hati manusia.

 

Sebab itu, kalau kita mahu berjaya dalam melahirkan peribadi yang baik sama ada pada diri atau dalam masyarakat kita, maka pendidikan hati hendaklah difikirkan dahulu.

 

Tetapi bukan semua manusia faham dan nampak bagaimana dan apa kesan hati kepada perlakuan manusia. Sebab itu manusia masih gagal membina hidup aman damai kerana gagal memahami bagaimana untuk mendidik hati supaya menjadi baik. Manusia juga gagal untuk mengubat penyakit hati yang telah merosakkan seluruh perbuatan zahir seseorang.

 

Oleh kerana itu manusia cukup sensitif dengan penyakit zahir tetapi tidak ambil pusing dengan penyakit batin. Penyakit bati yang dimaksudkan ini bukanlah penyakit jantung atau barah tetapi adalah penyakit mazmumah seperti riak, angkuh, dengki, ego, tamak, pemarah dan lain-lain lagi. Tidak ada alat x-ray yang dapat mengesan penyakit mazmumah kecuali ilmu tasawuf dan didikan dari seorang guru sufi.

 

Sebab itu kepentingan ilmu tasawuf dan pendidikan sufi  amat penting sekali demi menjamin kebahagiaan hidup manusia. Jadi, orang yang bercita-cita dan berazam untuk membersihkan hatinya dengan mengikut panduan ilmu dan didikan guru tasawuf, sebenarnya sedang menempuh jalan tasawuf.

 

Sekarang kita paparkan beberapa kisah ahli sufi yang jika kita ingin mengikut jejak ahli sufi maka ikutilah mereka. Kalau hendak menjadi seorang sufi jadilah seperti Nabi Musa yang memakai pakaian yang sederhana tetapi berani berhadapan dengan Firaun yang memakai pakaian maharaja. Atau jadilah seperti Nabi Sulaiman yang menjadi raja besar dengan segala kemewahan dan kekuasaan tetapi makanan hariannya cuma roti kering.

 

Satu ketika Nabi Sulaiman sedang melayang di atas tikar terbang diiringi oleh pengawalnya dari kaum jin. Datang peringatan dalam hatinya.  Jika dalam hatinya ada sebutir debu dari rasa takbur nescaya dia akan dibenamkan ke dasar bumi sedalam tingginya dia terbang di udara. Malah pernah Nabi Sulaiman berkata: “Satu kalimah Subhanallah lebih berharga bagiku dari segala dunia dan isinya.”

 

Menjadi orang sufi ertinya sanggup memikul tugas besar seperti Nabi Yusuf yang telah menjadi menteri Perbendaharaan. Baginda menyimpan makanan yang cukup selama tujuh tahun untuk berdepan dengan musim kemarau. Bukanlah dipanggil orang sufi jika menjadi masalah kepada masyarakat dan hidup dengan meminta belas kasihan dari orang ramai. Read the rest of this entry »

 
35 Komen

Posted by di 22 Jun 2012 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

DERAP KASUTNYA…

Kadangkala saya senyum sendirian membaca tulisan-tulisan lama oleh saya sendiri. Terasa betapa lantang dan vokalnya saya menulis pada masa itu. Kini setelah berusia, saya jadi lebih berhati-hati. Mana yang lebih baik? Entahlah, Allah yang Maha Mengetahui. Namun, yang pasti sewaktu muda-muda dahulu kita terlalu obses dengan pandangan sendiri. Dan memang sinis dan skeptik dengan pandangan orang lain yang berbeza. Setiap yang berbeza kerapkali ditafsirkan sebagai satu pertentangan.

Kini saya jelas, yang berbeza itu indah. Berbeza bukanlah masalah. Tetapi yang kerap menimbulkan masalah ialah SIKAP orang yang berbeza pandangan itu. Kerap kali sikap itulah yang menimbulkan perbalahan, bukan perbezaan itu. Malah pada banyak keadaan, perkara khilaf yang dipertikaikan menyebabkan terkorbannya akhlak budi yang lebih aulawiyat dipertahankan. Pernah agak saya selama setahun saya bingung dengan ‘school of thought’ yang berbagai-bagai aliran – salafi, sunni, sufi, wahabi dan sebagainya. Saya jadi pencari semula seperti pada zaman remaja dahulu…

Sering saya bertanya, dan sering juga saya ditanya. Kekadang oleh sebab kedangkalan ilmu saya banyak berdiam. Cuba terus belajar. Ke sana kemari, mendengar dan meneliti. Pada ketika itu saya berpegang kepada apa yang diyakini dan tinggalkan apa yang diragui. Namun saya tidak pernah menutup pintu untuk mendengar dan berbincang. Tetapi apa pun akhlak dan adab mesti dipertahankan. Jangan dicampur soal personel dan jurusan ilmu dan kaedah berfikir yang sifatnya lebih profesional.  Read the rest of this entry »

 
39 Komen

Posted by di 28 Julai 2010 in Semasa

 

Label: , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,522 other followers