RSS

Tag Archives: takdir

BERDAMAILAH DENGAN TAKDIR…

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini:”Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma ‘sekerat’, kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan  agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikanNya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu… ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabienya.

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stres, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk ‘berkelahi’ dengan takdir. Kita tidak menerima warna-warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, “sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga.”

Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita nikmati alam seperti seadanya… akur kepada Pencipta senja.

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah, malah kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nantinya hasilnya, katakan pada diri, “aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik.”

Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah Kasih SayangNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.

Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stres keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah… Allah tidak akan mengecewakan kita!

 
52 Komen

Posted by di 11 Disember 2011 in Uncategorized, Zikir & Fikir

 

Label: , , ,

HATI TETAP SAMA

Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.

Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?

Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.

Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal? Read the rest of this entry »

 
41 Komen

Posted by di 2 November 2011 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri. Saya bukan insan serba baik dan sempurna.

elalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Kebelakangan ini saya juga diburu waktu dan tugasan baru… Jadi masa untuk memasukkan entri baru kekadang terjejas juga. Maafkan, saya mungkin kelelahan, tetapi tidak pernah melupakan. Insya-Allah.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini…

JANGAN SOMBONG DENGAN TAKDIR

Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan..  Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan,  ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… Read the rest of this entry »

 
86 Komen

Posted by di 27 November 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah… jadi “Jabariah” dalam hidup itu. Atau mengaku super hingga terjebak dalam “Qadariah” ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah. Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV. Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka. Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini…

Untuk anak-anak, adik-adik, remaja dan “retua” juga saya hadiahkan tulisan ini:… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Read the rest of this entry »

 
33 Komen

Posted by di 13 Februari 2010 in Tarbiyah

 

Label: , , , , , ,

SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR

Alhamdulillah, sepanjang pengendalikan blog gentarasa ini saya mendapat kerjasama yang baik daripada ramai sahabat-sahabat rapat. Daripada Ustaz Adib yang memulakannya, sehingga Ustaz Faisal yang begitu komited memberi input dan cadangan dari semasa ke semasa. Saya tidak sangka sama sekali, gentarasa sampai ke tahap ini. Walaupun pencapaian ini masih kecil, tetapi ia sudah terlalu besar buat saya. Syukur, medan dakwah semakin terbuka. Dan saya gembira untuk meneruskannya.

Mulanya, saya sekadar ingin berkongsi. Namun kini ia sudah menjadi satu tanggungjawab dan amanah. Pada sahabat-sahabat saya di Fitrah Perkasa dan Telaga Biru, saya sangat menghargai sokongan saudara-saudari. Dalam kesibukan menulis buku (oh ya… buku terbaru saya akan terbit, bercerita tentang mujahadah), mengendalikan program dan berceramah,  syukur masih ada tenaga yang direzekikan Allah untuk saya memasukkan entri-entri baru dalam blog ini.

Ramai dan banyak yang telah saya temui dalam hidup ini. Syukur kerana Allah terus sudi menemukan saya pada ramai/banyak kebaikan berbanding keburukan.  Ada yang kita sangka kaca tetapi permata, ada pula kaca walaupun pada awalnya kita sangka permata. Yang tidak serasi pergi, dengan ucapan semoga dia menemui yang lebih baik dari kita. Dan kita bersangka baik, yang terbaik untuk kita akan datang mengganti.

Dalam usia yang semakin ke hujung ini, apa yang kita harap ialah yang baik-baik sahaja. Tidak mahu kekecohan, inginkan ketenangan. Berpada-pada dengan apa yang ada tanpa merencatkan usaha untuk mendapat yang lebih berkat. Bersendirian… tidak kesunyian. Di tengah ramai… tidak pula kelelahan. Ada masa untuk tafakur di rumah Allah dengan zikir dan wirid yang istiqamah. Ada masa untuk keluarga dengan pelbagai karenah tetapi tetap sakinah. Konsisten keluar berdakwah dan mentarbiah dengan niat untuk memperbaiki diri sendiri. Dan mendapat rezeki yang secukupnya hingga boleh diagih-agihkan kepada orang lain yang memerlukan.

Satu pesanan yang sering menjadi ingatan: Bergembiralah membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain. Jauhilah dari riya’, sum’ah dan ujub. Sedikit amalan, dengan ikhlas lebih baik daripada banyak tetapi dicelahi oleh rasa sombong. Bila berjaya melakukan kebaikan, jangan memperkecilkan orang lain. Justeru, masih ada manusia yang tidak dikenali di bumi tetapi sangat tersohor di langit sana. Kebaikan jangan dianggap jasa, tetapi anggap sahaja penebus dosa.

Buat semua yang membaca… doakan aku, insan kerdil yang sering patah dalam mujahadah ini. Aku ingin segala-galanya indah, ceria dan tenang… namun siapalah aku? Kau, aku dan kita cuma seorang hamba. Pada kita ada tadbir. Tetapi pada Allah segala Takdir. Lalu usaha kita hanyalah… menserasikan tadbir mengikut Takdir!

Terimalah tulisan ini: SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR!

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.

Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?

Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha? Read the rest of this entry »

 
38 Komen

Posted by di 27 Januari 2010 in Kemudi Hati

 

Label: , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,217 other followers