Looking for Something?
Posts Tagged for

TENANG

I need You because I love You

Author:

imagesAmat besar bezanya antara ungkapan, “aku cinta kamu kerana memerlukan mu” dengan “aku perlukan kamu kerana aku mencintai mu.” Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya. Itulah cinta yang ikhlas.

Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita mesti memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan kita mencintaiNya hanya pada ketika-ketika kita memerlukanNya.  Itu cinta yang palsu. Cinta yang berfokus pada kepentingan diri bukan kepada Allah,  zat yang mesti kita cintai.

Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, sakit dan miskin, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlaknya. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik sahaja masalahnya selesai, apa yang dihajati telah tercapai,  dia kembali lalai, kufur dan derhaka. Tuhan diperlukan hanya pada waktu-waktu terdesak sahaja. Apabila senang Tuhan kembali dipinggirkan dan dilupakan. Apakah ini yang dikatakan cinta?

Ibadah orang yang mencintai Allah hanya ketika sedang terdesak sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya,  dia alpa. Sebaiknya, jika yang dimintanya tidak kunjung tiba dia jadi kecewa, marah dan putus asa. Mengapa Tuhan tidak memperkenankan doa ku? Mengapa setelah lama aku berbuat baik keadaan ku masih begini? Dia seakan mendesak, bahkan memaksa  dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajatnya.  Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia adalah peminta yang ego. (more…)

SIKAYA YANG ‘DIMISKINKAN’ OLEH HARTANYA

Author:

67306_tampilan_rumah_bill_gates_dari_danau_washington_300_225Percaya tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita  seolah-olah rasa bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya, tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita menjadi semakin besar dan  bertambah.

Akhirnya duit yang bertambah menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak keinginan! Itulah akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita.

Diri kita akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Tidak salah memburu harta… burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan matlamat.

Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan akhirat.

Dalam pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik… mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. Ironinya, sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’  di rumahnya yang lapang, akibat jiwanya yang  terhimpit. (more…)

SEMUANYA SOAL HATI

Author:

cvr soal hati.inddKetika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.

Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)

Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)

Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)

Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.” (more…)

ANDAINYA HARTAWAN ITU TAHU…

Author:

Untuk memberi, kita mesti memiliki dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan memberi – adalah tiga jalan untuk mendapat kecintaan Allah dengan memberikan kasih sayang sesama manusia.

Namun, itu mudah dari segi ilmunya… apabila tiba pada tahap melaksanakannya, kita pasti teruji. Kerana mencari, memiliki dan memberi sering terusik ketertibannya.

Sering kita dituntut untuk memberi sebelum memiliki. Adakalanya, baru berusaha… sudah ditagih oleh yang meminta. 

Tahun 1434 H dan menjelang 2013, akan saya usahakan untuk mencari sebanyak-banyaknya supaya dapat memberi sebanyak-banyaknya juga. Saya menjadi serba-salah, untuk ‘tawar-menawar’ apabila diminta untuk memberi kuliah atau ceramah… Niat hati untuk menyampaikan secara percuma belum kesampaian. Bayangkan, dengan cabaran dan hambatan mengurus keluarga dengan keterbatasan masa dan tenaga, kekadang memberi kepada masyarakat terdesak oleh keutamaan memberi kepada keluarga. Bukan untuk bermewah-mewah, cuma ditahap memenuhi keperluan dan kemudahan.

InsyaAllah, mudah-mudahan saya dapat menulis sebanyak-banyaknya dan hasil daripadanya saya tidak payah lagi mengenakan sebarang ‘imbuhan’ untuk berceramah dan berkuliah. Kerana pada saya apa yang paling kita cari dalam hidup ini ialah HATI EMAS… itulah hati yang ikhlas. Hati yang merasakan hidayah Allah itu lebih berharga dari segalanya. Hidayah milik Allah, namun alangkah indahnya jika hidayah itu dilalukan Allah melalui diri kita sebelum sampai kepada orang lain. Seperti yang sering diungkapkan oleh Prof Muhaya, bahagia itu apabila kita membahagiakan! (more…)

MARI BEREHAT DENGAN SOLAT

Author:

Saudara dan sahabat-sahabatku… 

Semakin ramai yang mengajukan persoalan dan permasalahan sama ada di blog ini ataupun melalui FB saya. Saya simpati dan empati. Namun, disebabkan pelbagai hambatan, saya tidak mampu menjawab semuanya.

Apatah lagi, apabila saya amat-amati, dalam soalan itu sendiri pun telah ada jawapan. Ya, yang sukar adalah untuk mujahadah. Untuk sabar serta bijaksana untuk menghadapi dan menyelesaikannya sahaja.

Kebanyakannya hanya perlu ‘didengar’ untuk sekadar berkongsi rasa. Bukan untuk diselesaikan, tetapi untuk dileraikan. Jangan terus terbuku dan terpendam di dalam jiwa. Hakikatnya, kita sama sahaja. Saya pun begitu juga… sangat memerlukan ‘pihak lain’ untuk menjadi pendengar, tempat kita meluahkan segala dan semua. Dengan berkongsi, kita berbagi derita. 

Kebanyakan jawapan pada permasalahan sudah ada saya tuliskan dalam buku-buku saya. Sama ada Di Mana DIA di hati ku, Tentang Cinta, Cinta Kerana Allah, Mukmin Profesional, Dua Hati Satu Rasa, Nota Fikir untuk Zikir dan sebagainya. Rajin-rajinlah membaca – cari kekuatan dalam diri. Juga hadirilah kuliah-kuliah ilmu, insya-Allah hati yang luka akan dapat diubati. Saya sendiri membaca berkali-kali buku-buku itu dan buku tulisan orang lain. Namun paling penting,  jagalah  solat dan zikir , kerana itulah terapi yang paling “meresap’  dan mujarab. 

 Kebanyakan tulisan-tulisan saya adalah gelombang rasa dan ombak mujahadah yang sedang atau telah saya lalui sendiri. Saya yakin itulah juga yang pembaca lalui. Jadi, saya hanya menukilkan sahaja rasa yang pernah dialami oleh kita bersama. Saya cuba mencari kekuatan dengan menulisnya dan kemudian cuba bermujahadah untuk mengamalkan. Kekadang (malam selalu) jatuh juga bergelimpangan.  Tetapi saya cuba bangun semula… Begitulah saya doakan untuk para pembaca. Agar tidak mengira berapa kali kita jatuh, tetapi sejauh mana dan sekuat mana kita bangun semula.

 Ingin saya tegaskan buat diri sendiri dan pembaca… ilmu itu walaupun utama, tetapi bukan segala-galanya. Paling utama, kita perlu mengamalkannya.  Bagaimana nak sabar? Bagaimana nak redha? Bagaimana nak memaafkan? Tidak ada jawapan kepada persoalan ‘bagaimana’ kecuali ditempuh sendiri oleh mereka yang mengalaminya. Sakit perit dalam mujahadah ada dalam realiti kehidupan bukan pada helaian buku dan catatan. Menulislah dalam kehidupan sendiri dengan peluh, air mata dan darah… barulah ketenangan dan kejayaan terserlah.

Tidak ada jalan pintas di lebuh raya kebenaran. Semua insan perlu melaluinya dengan menanggung kesusahan. Itulah jalan yang dipilih Allah untuk mendapat Jannah. Syurga dipagari oleh kesusahan dan penderitaan. Cinta-Nya menagih pengorbanan. Jika perlu menangis, menangislah kerana Allah. Jika perlu sakit, sakitlah kerana Allah. Jika gagal, gagallah juga kerana Allah. Yang hitam dan putih adalah milkNya, kita hanya hamba – pada kita hanya usaha. Kemudian tawakal. Kemudian pasrah dan menyerah – kita milik Allah, kepadaNyalah kita akan dikembalikan. (more…)