RSS

Tag Archives: ukhwah

KISAH-KISAH DARI MAKKAH DAN MADINAH

Setiap kali musim haji, hati menjadi sayu. Usia hampir separuh abad, tetapi saya belum berkesempatan untuk menunaikannya. Namun tidak putus asa, saya bersama-sama lain umat Islam yang senasib akan terus berusaha, berazam dan berdoa. Berdikit-dikit dalam berbelanja, menyimpan tenaga, membina kesihatan, menyuburkan cinta, memperhaluskan adab dan akhlak sebagai bekal ke sana suatu hari nanti. Pasti. Insya-Allah.

Semoga saat kematian datang setelah kita sempat menunaikan Haji atau mati semasa kita sedang berusaha untuk menunaikannya di sana. Saya yakin, cinta Allah itu bukan hanya di akhir tujuan, tetapi sudah ada ketika kita melangkah memulakan perjalanan…

Kesempatan menunaikan umrah beberapa tahun yang lalu, saya anggap persediaan jiwa dan ilmu untuk menunaikan haji pada suatu hari nanti. Dengan sedikit pengalaman dan ilmu yang dikutip daripada orang-orang yang lebih arif serta pembacaan buku-buku yang baik, telah saya nukilkan beberapa kisah sebagai iktibar dari Makkah dan Madinah. Samada melalui artikel-artikel dalam majalah atau buku-buku yang pernah diterbitkan.

Bimbang, tujuan ibadah dipinggirkan. Risau alat dijadikan matlamat. Saya cuba melihati Haji dan Umrah pada sisi yang kekadang terlupa oleh segelintir saudara seIslam kita. Itu umpama selumbar yang menusuk di jari, atau pasir yang hinggap di mata… al hasil ibadah haji dan umrah menjadi kosong makna, kontang isi dan tidak berkesan untuk membina peribadi. Jangankan kesatuan peringkat ummah, kesatuan di peringkat ’rumah’ pun masih terkial-kial. Menurut kajian terbaru  Jakim, penceraian dalam rumah tangga umat Islam di Malaysia makin parah!

Padahal tujuan rukun Islam yang didasari oleh rukun Iman itu adalah untuk membuahkan ihsan. Ihsan itu adalah ’kesempurnaan akhlak’ –  tujuan Rasulullah saw diutuskan untuk manusia. Akhlak dengan Allah dan akhlak sesama manusia adalah buah pohon Islam yang berasal dari benih rukun Iman. Maka ibadah Haji begitulah – stesyen terakhir atau kemuncak ibadah yang sepatutnya mendekatkan kita kepada ‘out put’ akhir dalam beragama yakni akhlak.

Sayang, hasil ibadah umat Islam (khususnya Haji) masih terlalu rendah. Ibadah ritual ini masih jauh membina spiritual ummah. Masih terserlah ’kecintaan’ terhadap diri walaupun dalam langkah-langkah suci menuju Ilahi. Sedangkan akrab dengan Allah itu dicapai dengan intim sesama manusia.

Keredhaan Tuhan itu adalah di telapak tangan simiskin yang meminta, di perut sifakir yang kelaparan dan kehausan, di kantong siyatim yang tertinggal pendidikan dan pelajaran, di gubuk sijanda yang susah dihimpit kesusahan ataupun di saku pelajar yang kehabisan dana untuk menyambung pelajarannya. Sinisnya, ramai sihaji dan  sihajah masih tega mengerjakan haji berkali-kali!     

Lalu, di celah kekeliruan sendiri dan kecelaruan sesetengah anggota masyarakat ini… saya nukilkan kisah-kisah dari Tanah Suci ini. Bukan kisah misteri, ajaib atau karamah yang kerap menjadi bacaan popular tetapi hanya kisah-kisah biasa yang cuba diberi nilai didikan dan peringatan. Semoga hasrat itu tercapai. Lalu nikmatilah kisah-kisah dari Tanah Suci ini…

KISAH-KISAH DI TANAH SUCI

1) Mana integriti dan mana maruah?

Tanpa mempedulikan ocehannya saya terus menambah, ” aku ingin melihat ahli-ahli politik yang berulang-alik mengerjakan haji dan umrah bersikap jujur, telus dan integriti dalam ’politiking’nya.”

”Jangan mengharap terlalu tinggi,” ujar teman saya seakan memujuk.

”Itulah kaitan antara Tanah Suci dan ’Tanah Realiti’ yang kita huni sehari-hari. Haji itu kan ertinya menuju Allah? Jika benar Allah yang kita tuju di sana, maka itulah yang kita bawa kembali ke sini.”

 

”Itulah yang terbaik, tapi bukan senang…”

”Hakikat ihram itu bukan pada pakaian yang dipakai dalam jangka masa haji dan umrah sahaja, tetapi pakaian dalam seluruh kehidupan. Pakaian takwa, yang haram kita tinggalkan…”

 

Kebimbangan melihat ibadah haji dan umrah menjadi satu ’escapisme’ di kalangan umat Islam ada asasnya. Rasulullah SAW sendiri pernah mengingatkan bagaimana di akhir zaman, orang kaya, orang miskin, orang ternama melaksanakan ibadah itu bukan kerana Allah. Ulama tradisional seperti Imam Ghazali dan ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Al Qardhawi juga pernah mengingatkan dengan nada yang sama. Tujuan haji adalah untuk merubah diri. Yang lalai jadi ingat, yang fasik jadi taat. Tetapi kini seolah-olah haji dan umrah jadi ’mahar’ untuk meneruskan kefasiqan dalam gelar kesucian.

 

”Kau lihat sendiri, betapa ramai insan-insan insaf di Tanah Suci kembali lupa bila kembali ke tanah realiti… Malah komen-komen mereka seolah-olah bagai tak ada rasa bersalah langsung.”

”Mana kau tahu, mereka tu tak ada rasa bersalah?”

”Maaf, memang aku tak tahu. Sebab tu aku kata seolah-olah…”

 

Dalam hati saya terbayang bagaimana ada artis yang berazam untuk terus ’bergelek’ selepas umrah dan seribu satu macam lagi pengakuan yang ’aneh-aneh’ sama anehnya sewaktu mereka menceritakan pengalaman-pengalaman luar biasa ketika di Tanah Haram.

Saya teringat kuliah tarbiah tentang hakikat haji yang saya catatkan 3 tahun yang lalu. Betapa adanya manusia yang menjadikan amal kebajikan sebagai satu cara menghilangkan rasa berdosa. Rasa berdosa ketika menipu dan rasuah dalam perniagaan, cuba dihapuskan dengan bersedekah kepada fakir miskin. Rasa berdosa ketika bergaul bebas dan mendedahkan aurat dalam membina kerjaya cuba dilupakan dengan umrah dan hibah (sedekah). Rasa bersalah ketika mengamalkan politik wang cuba dilindungi dengan membina wakaf dan berderma.

Itu semua bukan perbuatan baik yang cuba memadamkan dosa untuk bertaubat tetapi perbuatan baik untuk menghilangkan rasa berdosa supaya dapat terus melakukan dosa dengan hati yang lega. Atau ‘topeng’ yang dipakai untuk memberi wajah baik pada imej muslim yang sering dicalarkan dengan sengaja. Ya, betapa banyak haji dan hajah yang meneruskan cara hidup yang tidak Islamik tanpa rasa segan silu lagi kerana mereka pun pernah ke Makkah. Rukun Islam mereka telah lengkap!

”Taubat, itu menyesal. Terus-terusan merasa berdosa. Rasa berdosa itu kemudian menggerakkan individu tersebut menempuh syarat-syarat taubat berikutnya. Yakni berhenti melakukan dosa, berazam tidak mengulanginya lagi dan bagi dosa sesama manusia wajib melunaskan semua kira-bicara soal harta, maruah, agama dan lain-lain.”

Masih terngiang-ngiang pesanan guru agama itu.

”Tetapi rasa berdosa yang cuba dihapuskan tidak begitu. Ia tidak menimbulkan penyesalan, bahkan ia umpama ’lesen’ yang memberi rasa aman, rasa seronok untuk meneruskan dosa. Seorang akan rasa bersih dalam kotor dosa yang menipu-daya.”

”Eh, kenapa kau diam saja? Apa buktinya mereka tidak ada rasa berdosa?” tempelak teman saya.

Ah, bagaimana ingin saya jelaskan tentang nasib ’orang lain’ ketika jiwa sendiri hakikatnya masih terpenjara di Tanah Realiti untuk terbang ke Tanah Suci. Teringat kata-kata hukama, ”seseorang sudah dikira berdosa apabila dia merasa tidak berdosa!”. Read the rest of this entry »

 
36 Komen

Posted by di 19 November 2010 in Iktibar Kisah, Uncategorized

 

Label: , , , , ,

BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Musibah melanda lagi. Apa yang menimpa Gaza, harusnya dirasakan oleh kita jua. Jika tidak ada apa-apa terasa di jiwa, khuatir di dalam dada itu tidak ada rasa bersaudara. Dan tidak ada rasa bersaudara… petunjuk tidak ada iman.

Bukankah iman dan  persaudaraan itu saling berkaitan? Hanya dengan iman, datanglah rasa persauadaraan yang hakikit. Yakni persaudaraan yang merentasi jarak, bangsa dan rupa. Islam itu adalah syahadah yang mengatasi pertalian darah.

Siapapun akan menangis, melihat Gaza menangis. Dari jauh kita himpunkan doa. Dari dekat, kita menyatakan sikap. Di celah dinihari, moga ramai yang tahajud dan solat untuk  umat  Islam di Palestin.

Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Dimulai dengan penjajahan fikiran dan perasaan melalui hedonisme, sekularisme dan materialisme… akhirnya  peluru api dan besi para tirani akan merobek batasan geografi dan watan kita. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa… padahal rantai-rantai pemikiran sudah diikat di tengkok kita, dan jiwa kita sudah mula dikunci, hanya menanti masa sahaja iman dan Islam kita bakal disembelih!

Untuk sahabat-sahabatku  di Gaza, ku rakamkan tulisan ini sebagai titisan prihatinku untuk nasib kalian (nasib kita jua).  Hanya satu pesanku, untuk mu dan untuk ku… BELAJARLAH DARI MUSIBAH!

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah “Bismillahir Rahman nir Rahim” – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?

Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah. Read the rest of this entry »

 
26 Komen

Posted by di 1 Jun 2010 in Iktibar Kisah

 

Label: , , , , , ,

BERCERAI KASIH BENCI TIADA!

83266466Siapa kita lima tahun akan datang ditentukan oleh buku apa yang kita baca dan dengan siapa kita bergaul. Begitu kata pakar-pakar psikologi. Kita dibentuk oleh apa yang kita baca – dalam konteks iqra’ imam Ghazali mentafsir membaca dengan akal, hati dan emosi. Maksudnya apa sahaja input yang selalu kita lazimi pada akal, jiwa dan emosi akan membentuk peribadi.

“Buku” dalam ertikata yang luas ialah apa yang kita dengar, lihat, tonton, berinteraksi dan berkomunikasi. Kamu ialah apa yang kamu baca, seperti juga kamu apa yang kamu makan, kerana membaca itu hakikatnya memberi “makanan” pada akal, hati dan emosi.

Baiklah, bukan itu yang ingin saya fokuskan kali ini. Tetapi saya ingin berkongsi bahagian kedua daripada kata-kata pakar psikologi itu – yakni “dengan siapa kamu bergaul.” Sudah lama saya ingin menyentuh persoalan ini, dan telah ramai juga pengunjung blog yang meminta saya menulis tentangnya. Alhamdulillah selepas Subuh ini, ada dorongan yang sangat kuat untuk menulis tentangnya. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kita bersama.

Saya ingin menulis sesuatu yang saya dengar, dapati, rasai daripada pengalaman sendiri. Tentunya daripada pengalaman peribadi dan pengalaman orang yang saya temui. Kebetulan karektor saya sebagai “perfect malancholy” – yang umumnya selalu serius, berhati-hati, agak skeptik (kadangkadala prajudis), suka kesempurnaan – selalunya akan menghadapi cabaran yang lebih “besar” dalam perhubungan.  Read the rest of this entry »

 
21 Komen

Posted by di 20 Oktober 2009 in Kemudi Hati

 

Label: , , , , , ,

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,219 other followers